RUKUN TAQWA



Alhamdulillah, syukur kehadrat Ilahi kerana kita semua masih diberikan kesempatan dan peluang untuk mencari keredhaan Allah swt. Saya ingin berkongsi sedikit ilmu kepada kita semua tentang rukun taqwa. Diminta sesiapa yang lebih arif tentang ini dapat menegur kesilapan tulisan saya kali ini.Kita biasa dengar tentang Iman sampai sudah lali. Kita biasa dengar tentang Islam sampai sudah lali. Kita pun sebut Ihsan sampai sudah lali. Tetapi kita tidak pernah tahu ketiga-tiga itu adalah rukun taqwa.Selama ini kita tidak pernah belajar atau diajar tentang rukun taqwa ini sedangkan Ia adalah asas, tapak atau benih taqwa.

Iman, Islam dan Ihsan ini adalah rukun taqwa. Jika tiada rukun Taqwa, bagaimana kita hendak tegakkan Taqwa?


Ianya diabaratkan seperti ini.Rukun adalah tiang dan taqwa adalah rumah, jika tiada tiang(Rukun) bagaimana kita nak bina rumah(Taqwa)


Kalau hendak dikupaskan lagi, ketiga-tiga istilah ini bolehlah dikaitkan dengan Tauhid, Syariat dan Tasawuf. Apa itu Tauhid, Syariat dan Tasawwuf?


Iman itu adalah Tauhid. Islam itu Syariat dan Ihsan itu Tasawuf.Walaupun rukun taqwa itu ialah Iman, Islam dan Ihsan tetapi dalam rukun taqwa itu ada pula rukun-rukun tambahan yang lain. Ia rukun di dalam rukun.


Biar saya terangkan lagi apa itu “rukun didalam rukun” supaya mudah anda mengetahui tentang rukun Taqwa. Rukun Taqwa mempunyai tiga iaitu Iman, Islam dan Ihsan. Dalam setiap tiga rukun itu terdapat pula rukun-rukun lain. Ianya seperti “subpoint untuk point utama”. 


Contoh lagi, Rukun Iman ada 6 perkara, dalam 6 Rukun Iman ini pula ada 4 lagi yang menjadi rukun iaitu rukun didalam rukun.


Amatlah penting untuk kita tahu perkara ini kerana ianya melibatkan hati atau faktor dalaman.


Walaupun kita lengkap dengan solat fardhu, sunat lagi, berdakwah lagi ianya tidak cukup untuk menjadikan kita manusia yang bertaqwa.


Rasulullah pernah menceritakan tentang Sayidina Abu Bakar, bahawa tinggi darjatnya di sisi Tuhan bukan faktor sembahyang, bukan faktor sedekah, bukan faktor jihad.Padahal dia buat semua itu, tapi bukan itu yang dinilai. Tapi apa yang ada dalam hatinya. Walaupun faktor lahir begitu sekali namun Tuhan tak pandang itu semua, Tuhan menilai faktor dalaman.





RUKUN TAQWA : IMAN


A. Iman didalam Rukun Taqwa

1.   Iman di sini ialah apa yang diterangkan di dalam rukun iman yang enam iaitu percaya akan Allah, malaikat-Nya, kitab-Nya, Rasul-Nya, hari Akhirat dan qada’ dan qadar.
2.   Dalam rukun iman yang enam  ini pula, ada empat perkara yang menjadi rukun iaitu ilmu, faham, yakin, dan penghayatan.

B. Rukun pertama kepada rukun Iman adalah ilmu.

1.   Keenam-enam rukun iman itu tidak boleh dibangunkan kalau tidak ada ilmu. Kalau kita sekadar percaya tetapi tidak berdasarkan ilmu, tiang pada iman sudah runtuh.
2.   Membangunkan iman mesti atas dasar ilmu supaya kefahaman kita terhadap enam rukun iman itu betul dan tepat.

C. Rukun kedua kepada rukun Iman adalah faham

1.   Ilmu itu pula mesti difahami yakni ia tidak boleh terhenti di akal. Ia mesti diserapkan ke dalam hati. Memahami itu adalah dengan akal dan hati

D. Rukun Ketiga kepada rukun Iman pula ialah Yakin.

1.   Selepas ilmu tentang enam rukun iman itu jelas dan di-fahami, kita kena yakin dengannya.
2.   Keyakinan ini tidak boleh dicelahi oleh syak, zan atau waham. Keyakinanlah yang akan mendorong kita menghayatinya.
3.   Namun hendak yakin dengan Tuhan dan lain-lain perkara dalam rukun iman berdasarkan ilmu bukan senang.

E. Rukun terakhir dalam rukun Iman ini ialah penghayatan.

1.   Hendak menghayati inilah yang susah. Menghayati itu maksudnya merasa bertuhan.   Merasakan Tuhan ada peranan dalam hidup kita.
2.   Rukun iman itu bukan percaya begitu sahaja. Kita mesti yakin. Mungkin percaya atas dasar ilmu, mudah. Tetapi untuk yakin, itu susah. Ia perlu kepada kefahaman. Untuk menghayati lebih-lebih lagi susah.
3.   Contohnya ada disebut dalam Al Quran dan Hadis: Maksudnya: “Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)-Nya.”



RUKUN TAQWA : ISLAM


A. Islam didalam Rukun Taqwa.

1.   Islam merangkumi lima rukun Islam yang kita semua sudah pelajari di masjid dan di surau. Ia adalah mengucap dua kalimah syahadah, sembahyang, puasa, zakat dan haji..
2.   Seperti juga iman, cara untuk membangunkan lima rukun Islam ini ada rukunnya pula sebagai tiangnya.
3.   Ada lima perkara dalam satu pakej yang menjadi rukun kepada tertegaknya rukun Islam itu iaitu ilmu, faham, yakin, perlaksanaan (amalan), penghayatan (rasa).

B. Rukun pertama dalam rukun Islam ialah Ilmu.

1.   Ucapan kalimah Syahadah umpamanya takkanlah cukup dengan mengucapkan kalimah sahaja dengan tidak ada ilmunya dan tidak tahu tuntutan-tuntutannya.
2.   Terjemahannya sahaja tidak cukup. Begitu juga sembahyang. Mesti juga berdasarkan ilmu. Jadi rukun Islam itu mesti berdasarkan ilmu. Amalan tanpa ilmu tertolak.

C. Rukun kedua dalam Rukun Islam ialah faham.

1.   Dalam menegakkan rukun Islam, kita mesti faham. Kalau dengan ilmu sahaja, mungkin kita boleh buat yang lahirnya tetapi batinnya rosak.
2.   Faham perlu untuk menjaga batin atau roh ibadah.

D. Rukun seterusnya dalam Rukun Islam pula ialah yakin.

1.   Yakin menjadi syarat. Kita kena yakin dengan ilmu kita dan ibadah kita itu. Ia perintah Tuhan. Bukan suka-suka dan bukan sekadar hobi.

E. Rukun keempat dalam Rukun Islam ialah pelaksanaan(amalan)

1.   Semua rukun Islam itu mestilah dilaksanakan dan diamalkan mengikut ilmunya. Di sini baru ada perkara yang lahiriah.

 F. Rukun terakhir dalam Rukun Islam ialah penghayatan(rasa)

1.   Dalam melaksanakan rukun Islam, ia perlu dihayati supaya bukan lahir saja yang berbuat. Hati mesti ikut sama. Sembahyang contohnya mesti ada penghayatan.
2.   Dalam sembahyang didapati ramai orang boleh baca tetapi tidak boleh merasa. Doa qunut contohnya, boleh dibaca dan mungkin tahu maksud bacaan itu, tetapi tidak boleh dirasa.
3.   Kalau tidak boleh dirasa maka tidak ada kesannya. Ia tidak sampai ke hati. Padahal kalau kita dapat rasa, baru ia tertuju kepada akal dan roh. Sebab itu seorang yang boleh merasa, dia tidak buat amalan sunat pun tidak apa. Amalan wajibnya pun sudah cukup berkesan.



RUKUN TAQWA : IHSAN


A. Maksud Ihsan

1.   Kalau diterjemah secara bahasa atau secara lughah, Ihsan maksudnya berbuat baik. Tetapi Ihsan yang bersifat rohaniah atau hati lain maksudnya.
2.   Ihsan ditakrifkan oleh Rasulullah SAW begini: “Hendaklah kamu sembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Memang kamu tidak boleh melihat Tuhan tetapi hendaklah kamu sedar dan rasakan di dalam hati kamu, bahawa Tuhan melihat kamu.” (Riwayat Muslim)

B. Apa itu Ihsan

1.    Ihsan itu ialah apabila roh dan akal sedar bahawa Tuhan sedang melihat. Rasa Tuhan melihat, mendengar, mengetahui dan rasa Tuhan berkuasa mentadbir diri kita. Ada rasa kehambaan dan rasa bertuhan ketika kita laksanakan perintah dan suruhan Tuhan. Itu sangat sulit kalau jiwa tidak hidup yakni kalau rasa bertuhan tidak ada.
2.   Rasa bertuhan itu bukan di waktu beribadah sahaja. Waktu tidur dan berehat pun, rasa bertuhan itu patut ada. Contohnya : Bayangkan, kalaulah ada seekor harimau di depan kita, bolehkah kita lupakan harimau itu seolaholah ia tidak ada dan tidak wujud? Kalau ada harimau di depan kita, bolehkah kita makan dan minum serta melupakan harimau itu begitu sahaja? Bukan sahaja hendak lupakan harimau, hendak makan pun kita tidak lalu. Tidak tentu arah kita dibuatnya. Harimau tidak sehebat mana. Tuhan maha hebat. Nasib kita di dunia dan di Akhirat adalah di tangan-Nya. Kalau Dia kata mati, matilah kita. Kalau Dia kata miskin, akan miskinlah kita. Jadi, bagaimana kita hendak lupakan Tuhan. Itulah Ihsan.Yakni, waktu ibadah fardhu dan sunat atau di luar ibadah, terasa Tuhan melihat dan memerhati. Terasa bahawa Dia yang berkuasa di atas diri kita dan serba salah dan tidak tentu arah kita dibuatnya.



Secara konklusinya tentang Rukun Taqwa ini saya ingin berkongsikan satu kisah.Walaupun faktor lahir Sayidina Abu Bakar itu begitu hebat sekali tetapi Tuhan tidak pandang itu semua. Tuhan nilai faktor dalamannya. Diceritakan lagi bahawa dalam satu majlis, Rasulullah SAW sedang bercakap kepada para Sahabat, “Tidak lama lagi akan datang ke majlis kita ini seorang ahli Syurga.” Tidak lama selepas itu, orang itu pun datang lalu memberi salam. Rasulullah SAW pun berkata, “Silakan.” Itulah orangnya yang Rasulullah SAW sebut bahawa dia ahli Syurga. Rupanya, ada Sahabat yang ambil perhatian. Apakah kelebihan orang ini? Selepas majlis selesai, Sahabat tersebut mengekori orang tadi balik ke rumah tanpa disedarinya. Setelah sampai, dia bertanya, “Bolehkah saya menumpang bermalam di rumah saudara?” Orang tadi berkata, “Ahlan wasahlan, silakan.” Tujuan Sahabat itu menumpang bermalam adalah untuk melihat apa kelebihan orang itu kerana dalam ramai-ramai Sahabat, yang ini disebut khusus oleh Rasulullah sebagai ahli Syurga. Sahabat yang menumpang bermalam itu tidak tidur tetapi dia memerhati sahaja sampai ke subuh. Dilihatnya tidak ada sesuatu pun yang istimewa. Orang itu sembahyang yang fardhu sahaja. Sunat rawatib pun dia tidak buat. Malam pun dia tidak bangun untuk tahajud. Padahal Sahabat itu sendiri tahajud malam, sembahyang sunat, berwirid, berzikir dan membaca Al Quran. Pening dia memikirkan. Beginikah ibadah ahli Syurga? Selepas sembahyang Subuh, mereka berbual. Sahabat itu berkata, “Semalam, sebelum saudara datang ke majlis, Rasu-lullah ada menyebut, ‘Sekejap lagi akan datang ke majlis ini seorang ahli Syurga’. Tiba-tiba saudara datang. Jadi, saudaralah orangnya. Tujuan saya minta bermalam di rumah saudara adalah untuk melihat amal ibadah saudara untuk saya tiru. Tetapi saya tengok, semalam tidak ada apa-apa pun. Saudara sembahyang yang fardhu sahaja. Apakah rahsia sebenar saudara boleh menjadi ahli Syurga?"Orang itu menjawab, “Wahai saudara, dalam hidup ini, saya bukan sahaja tidak ada hasad dengki, fikir untuk berhasad dengki pun tidak.

Kini baru kita tahu bahawa rukun taqwa itu ialah Iman, Islam, dan Ihsan. Dalam ke tiga-tiga perkara tersebut ada pula rukun rukunnya lagi yang dikatakan rukun dalam rukun. Dalam rukun Iman ada empat rukun, dalam rukun Islam ada lima rukun dan dalam rukun Ihsan ada satu rukun.


Kebanyakan rukun-rukun tersebut menyuluh hal dalaman atau batiniah. Hanya satu sahaja yang menyuluh hal luaran atau hal lahiriah (fizikal). Jadi apa yang kita dapat faham dari hakikat ini, taqwa itu sebenarnya adalah 90% sebenarnya faktor dalaman, 10% sahaja faktor luaran.


Ertinya Tuhan mesti dihayati. Ibadah mesti dihayati. Tidak cukup ibadah sekadar syarat, rukun, sah dan batal sahaja. Tidak ada makna kalau ibadah itu cukup syarat, rukun dan sah pula pada hukum syarak tetapi tidak dihayati atau dijiwai. Tuhan mesti dihayati supaya lahir rasa kehambaan. Ini yang Tuhan mahu. Inilah jalan mendapat taqwa.



SUMBER

Soal Jawab Aqidah tauhid (2009). Apakah ada Rukun Ihsan,. Retrieved 7 March 2013, from http://qaasasaqidahtauhid.blogspot.com/2009/02/apakah-ada-rukun-ihsan.html

Usaha Taqwa. (2013). Iman, Islam, Ihsan-Rukun Islam, . Retrieved 7 March 2013, from http://www.usahataqwa.com/hidup-taqwa/rukun-taqwa

Ustaz Abdul Aziz Ismail. (2004). Falsafah Rukun Taqwa, . Retrieved 7 March 2013, from http://buletinharmony.proboards.com/index.cgi?board=april&action=display&thread=7


No comments:

Post a Comment

MUST READ