MALAYSIAKU MENANGIS

Tahun 2014. Tanah tumpahnya darahku mengalirkan airmata. Tahun yang penuh cerita duka. Allah menguji negara kita dengan pelbagai cara. Alhamdulillah, Allah sayangkan rakyat Malaysia. Allah turunkan bala supaya kita sedar akan Pencipta kita, supaya kita imbas dosa-dosa kita, supaya kita tahu dimana silapnya kita.



      Bermulanya 2014, fenomena suhu sejuk melanda Malaysia pada pertengahan Januari. Fenomena ini amat mengejutkan sehingga laporan menyatakan suhu terendah dicatatkan di Kuala Krai, Kelantan menurun sehingga 17 darjah celcius. Rakyat Malaysia menerima perubahan suhu ini dengan gembira. Mana tidaknya, cuaca normal di Malaysia agak panas. Fenomena ini dapat dirasakan di seluruh negara dan yang paling terasa adalah kawasan pantai timur di Semenanjung Malaysia dan faktor ini disebabkan oleh luruan udara sejuk dari tanah besar China (kawasan bertekanan tinggi) bergerak ke Laut China Selatan yang biasa terjadi ketika Monsun Timur Laut dan turut dirasai di negeri utara Malaysia seperti Perlis dan Kedah. Namun ianya tidak lama, cuaca kembali normal pada awal Februari.



      Bermulanya Februari, Malaysia mengalami cuaca panas berpanjangan. Empangan mulai kering. Suhu dingin yang menyegarkan hilang. Sepanjang waktu kemarau ini, orang ramai lebih terkesan dengan laporan penurunan paras air empangan seperti yang disiarkan akhbar pada 12 Februari 2014 dan memberi impak kepada bekalan air kepada orang ramai.

      Mac menyusul dengan berita amat mengejutkan bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia kebingugan. MH370 HILANG tanpa khabar berita. 8 Mac 2014, pesawat milik Malaysia Airlines dilaporkan hilang dari radar pada pukul 1:19 pagi waktu Malaysia selepas berlepas dari KLIA menuju ke Beijing, China. Pelbagai konspirasi tercipta, usaha mencari dari Laut China Selatan dimana tempat pesawat terputus komunikasi beralih sehingga ke Selat Melaka, Laut Andaman, dan seterusnya ke Lautan Hindi. Seperti ada yang tidak kena. Namun pesawat yang membawa 227 orang dan 12 anak kapal itu masih tidak dijumpai tanpa jejak sehingga sekarang.



      Dalam masa yang sama kemarau masih melanda negara sehingga April. Catuan air dilakukan berbulan-bulan. Empangan yang selama ini dipenuhi air seolah-olah kering tidak tersisa. Malaysia di duga dan terus diduga. Tidak cukup dengan itu jerebu pula menyerang Malaysia akibat kebakaran hutan di Indonesia.



      Malaysia menangis. Kedatangan Syawal seakan memberi sedikit keceriaan namun ianya tidak lama. Airmata Malaysia kembali menitis. Kali ini MH17 menjadi abu. Sebuah lagi pesawat milik Malaysia Airlines ditimpa kecelakaan. Empat bulan selepas MH370 hilang kini MH17 pula ditembak jatuh di Ukraine dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. 283 penumpang serta 15 anak kapal maut. Seluruh Malaysia terkedu. Malaysia menangis lagi. Semua kebingungan.



     Disember 2014. Malaysia hadapi satu lagi dugaan. Banjir terburuk setelah berdekad lamanya. Pantai Timur tenggelam. Ada yang mati lemas, mati kelaparan. Sesetengah tempat seolah mengalami Tsunami setelah banjir surut. Mangsa banjir melebihi 120,000 orang. Beribu hilang tempat tinggal. Kuala Krai antara tempat terjejas teruk. Tidak cukup dengan itu syarikat penerbangan yang diasaskan oleh ahli perniagaan Malaysia dilaporkan terhempas. Pesawat AirAsia Indonesia, QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan 7 anak kapal terhempas dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura.




    Ya Allah, tahun yang sukar untuk Malaysia. Sungguh besar dugaanMu. Namun kami menerimanya dengan redha. Sesungguhnya bala yang diturunkan oleh Mu adalah suatu peringatan kepada kami yang dalam kelalaian.

    Marilah kita sama-sama melihat perkara-perkara yang berlaku ini dengan lebih mendalam. Apa yang telah berlaku di negara kita adalah satu peringatan untuk semua. Namun dalam negara menghadapi tekanan dan dugaan masih ramai yang bertekak, masih ramai yang saling menyalahkan sesama sendiri dan masih ramai yang menabur fitnah. Lihatlah sendiri setiap peristiwa yang berlaku sepanjang tahun ini. Didalam media sosial sebagai contoh, ada sahaja yang tidak kena. Setiap posting tentang info isu semasa ada sahaja yang bergaduh, saling menyalahkan orang lain, yang lebih teruk memfitnah dan menyebarkannya tanpa usul periksa. Sedarkah kita?

Bersamalah kita mengambil iktibar diatas setiap perkara yang berlaku. Renungkan dosa kita, dosa negara kita. Kerana bala Allah tidak mengenal siapa. Yang beriman turut terkena tempias.

-MALAYSIA MENANGIS-

Akhir sekali saya tertarik untuk kongsikan sajak ini yang saya jumpa di ruangan komen fb. Kredit kepada empunya sajak.

2014...
Kehadiran mu dinanti penuh debaran...
Kedatangan mu disambut penuh kemeriahan...
Mengharap sinar, harapan dan senyuman...

Namun siapa sangka...
KAU menduga, KAU menguji kami penuh cabaran...

Mac 2014...
Perginya MH370 tanpa berita...
Perginya penuh tanda tanya...
Perginya tanpa meninggalkan secebis jejak...

Feb - Apr 2014...
Empangan kami kering...
Alam tidak sudi memberi kami air...
Catuan air sehingga berbulan-bulan lamanya...
Mengajar kami untuk tidak membazir...

Tidak cukup dengan itu...
Alam seolah-olah memarahi kami...
Jerebu menduga kami...
Seksanya hidup menyedut udara kotor...
Mungkin dari kesilapan kami sendiri...

Julai 2014
Ketika umat Islam menikmati ibadah puasa...
Dan kemeriahan Aidilfitri kian dirasa...
Hati kami bagai direntap...
Perginya MH17 tidak kembali...
Kami terduduk...
Menangisi dan meratapi perginya MH17...
Seolah-olah orang tersayang berada di sana...

Satu persatu KAU bongkarkan...
Kerana hilangnya sifat amanah si dewasa, si anak menjadi mangsa...
Kebocoran soalan UPSR...
Cukup menjatuhkan sifat mulia seorang dewasa...

Disember 2014...
Kami menangisi setiap gambar yang kami tatapi...
Air yang membawa kemusnahan...
Meruntun hati kami...
Namun kami tahu...
Ada ganjaran disebalik air kemusnahan itu...

Kini...
Saudara kami QZ8501 menghilangkan diri...
Membuat kami ternanti...
Membuat kami meratapi kembali MH370 dan MH17...

Betapa KAU sayangkan kami...
KAU hantarkan petandaMU...
KAU hantarkan petunjukMU...
KAU hantarkan ujianMU...
Supaya kami mengingatiMU ...
Supaya kami tidak lupakanMU...

Mungkin selama ini telah KAU hantarkan petandaMU kepada kami...
Namun...
Tetap jua kami buta...
Buta dalam menilai cinta agungMU...

Kami alpa kepadaMU...
Kami jauh dariMU...
Kami kejam dengan bumi...
Kami abaikan saudara kami...
Kami pentingkan diri!
Kerana merasai dunia ini hak kami...

2015...
Kembalikanlah sinar, harapan dan senyuman kami...
Bawalah air mata mu 2014...
Pergilah bersama deritamu 2014...
Bersihkanlah kesan hitammu 2014...
Kami pasrah...
Kami redha...

Tuhan...
Terima kasih atas kasih sayangMU...

MH370... Kami masih menantimu...
MH17... Kami harap kamu tenang di sana...
QZ8501... Kini sudah terjawab... 
Buat mangsa banjir...
Tabahkanlah dirimu... Kuatkanlah hatimu...

Terima kasih buat semua pengajaranmu 2014... 

Bersamalah kita ambil iktibar atas semua yang berlaku... 

10 comments:

  1. singgah sini sambil follow ! follow balik yeee

    ReplyDelete
  2. Sedihnya dgn cerita banjir ne, moga semua yg terlibat tabah menghadapi dugaan ni..

    ReplyDelete
  3. mcm2 yg berlalu.. moga kita semua rakyat Malaysia sentiasa berada dlm rahmat dan redha Allah. amin..

    ReplyDelete
    Replies
    1. ujian Allah sebagai peringatan. semoga kita menerimanya dengan redha

      Delete
  4. done follow blog anda ya jengok ya blog Etuza

    ReplyDelete
  5. berbagai fenomena mengundang masalah ..Malaysia kena bersabar hadapinya...amin

    ReplyDelete

MUST READ