Syaitan Diikat di Bulan Ramadhan?

Assalamualaikum w.b.t
Apabila berfikir dan mengelamun sekejap di bulan Ramadhan, terlintas dibenak fikiran untuk mengetahui lebih lanjut tentang syaitan yang diikat pada bulan Ramadhan. Adakah benar syaitan diikat? Kenapa masih ada maksiat jika benar syaitan-syaitan telah diikat? Persoalan-persoalan semakin tersimpul dan naluri ingin tahu terus tertanya-tanya dan mungkin inilah jawapannya. Kepada pembaca yang lebih mengetahui akan hal ini diminta memberi pandangan dan nasihat terhadap entri kali ini..
          Isu syaitan diikat apabila masuknya Bulan Ramadhan telah diketahui oleh kebanyakan umat Islam. Namun seramai manakah yang tahu ianya benar-benar diikat atau tidak? Isu seperti ini kebiasaannya telah diketahui oleh kita sejak kecil lagi. Malahan apabila memasuki bulan Ramadhan,makin kedengaran isu syaitan telah diikat. Kita mendengarnya dari orang-orang tua, rakan-rakan sebaya dan guru-guru di sekolah yang menerangkan kepada kita dengan cukup ringkas. Bulan Ramadhan = Syaitan diikat. Minda kita telah di set kan sehingga sekarang tanpa mengetahui cerita sebenar. Perasaan ingin tahu akan mendorong anda untuk terus membaca kali ini.

         Asas kepada isu syaitan diikat atau dirantai ini ialah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :
"Apabila tiba bulan Ramadhan, maka pintu-pintu syurga dibuka, pintu-pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan pula dirantai @ dibelenggu para syaitan."

Telahpun jelas bahawa syaitan sememangnya dirantai apabila tiba bulan Ramadhan. Persoalannya kenapa masih ada maksiat dibulan Ramadhan? Sebuah hadith riwayat Imam Tirmizi, Nasa`iy, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan lain-lain yang bermaksud :
"Apabila masuk malam pertama bulan Ramadhan, maka syaitan-syaitan dan jin-jin yang degil (kuat) dirantai dan diikat."
 Bahkan, versi hadith riwayat Imam Nasa`iy, Ahmad dan lain-lain ada menjelaskan :
"Dan diikatkan syaitan-syaitan yang kuat dan degil di bulan Ramadhan."
Hadis ini lebih detail menerangkan isu syaitan yang dirantai. Mengikut hadis ini, bukan semua syaitan diikata atau dirantai, tetapi hanya syaitan yang tinggi pangkatnya atau syaitan yang hebat-hebat menyesatkan manusia sahaja di ikat di bulan Ramadhan. Disebabkan itu maksiat masih berleluasa kerana syaitan-syaitan "prebet" ini masih ada untuk menyesatkan kita semua. Jadi di Bulan Ramadhan yang mulia ini takkan kita hanya kalah dengan godaan syaitan prebet? Kita mesti buktikan yang kita boleh lawan mereka.

Pendapat oleh Al-Hulaimi mengatakan "ada kebarangkalian bahawa maksud  “syaitan  dibelenggu” ialah  “mereka tidak dapat menggoda manusia sepenuhnya pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain, disebabkan manusia sibuk dengan berpuasa yang mengekang syahwat, membaca al-Quran dan  berzikir”.Ini boleh disamakan dengan ungkapan “dalam sistem diktator, rakyat ditutup mulut dan  digari”. Ungkapan ini membawa makna  “rakyat tidak sepenuhnya dapat bersuara dan bebas melakukan aktiviti yang dianggap menggugat  kerajaan” disebabkan sekatan undang-undang.

             Pergerakan syaitan-syaitan ini seperti diikat atau dihadkan pergerakan, supaya mudah untuk kita beribadat di bulan puasa. Namun, jika kita berada hampir dengan tempat syaitan-syaitan itu diikat, syaitan-syaitan tersebut masih boleh menghasut/mengganggu/membisikkan kerana ianya cuma ditambat! Seperti seekor anjing yang diikat oleh tuannya, anjing tersebut masih boleh menyalak, kalau kita menghampiri anjing tersebut, tentunya kita boleh digigit.

Pendapat Imam Qurtubi yang berpegang kepada hadis Imam Bukhari di mana para syaitan diikat tanpa pengecualian. Maknanya kesemua Syaitan diikat apabila tiba waktu Ramadhan. Namun di situlah timbulnya kemusykilan. Namun Jika kesemua diikat kenapa masih ada maksiat?

Kemusykilan itu dijawab oleh Imam Qurtubi, “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan  manusia”.

Manusia sendiri mempunyai hawa nafsu yang boleh menyebabkan kita melakukan pelbagai perkara maksiat. Berlakunya sesuatu maksiat bukanlah hanya disebabkan hasutan syaitan semata, tetapi dikait rapat dengan hawa nafsu manusia yang kotor. Ada orang cakap, selama 11 bulan nafsu berguru dengan syaitan, maka sebulan tanpa syaitan pun sudah boleh menjadikan nafsu itu raja dalam diri kita. Disini ada kisah akal dan nafsu.

1 comment:

MUST READ