HARIMAU MALAYA SEDIA TAKLUK ASIA TENGGARA

Piala AFF Suzuki hampir tiba, Malaysia dengan misi mempertahankan kejuaraan pada edisi 2010 dijangka mendapat tentangan sengit dari negara-negara yang bertanding. Semestinya negara lain di Asia Tenggara ingin menewaskan Malaysia sebagai gergasi Asia Tenggara waktu ini.


     Pakjhu tidak ketinggalan untuk berkempen mempromosikan piala yang paling berprestij di Asia Tenggara ini yang dijadualkan bermula 24 November 2012 dengan Malaysia dan Thailand selaku tuan rumah bersama.

     Piala Aff Suzuki atau dulunya dikenali sebagai Piala Tiger kini memasuki kali yang ke-9, ia mula dipertandingkan pada tahun 1996 dimana Singapura selaku tuan rumah dan dimenangi oleh Thailand yang menewaskan Malaysia di perlawanan akhir. 

      Thailand dan Singapura merupakan negara paling berjaya didalam pertandingan ini, masing-masing telah memenangi tiga kejuaraan diikuti Vietnam dan Malaysia satu kejuaraan. Manakala negara-negara lain di Asia Tenggara belum pernah mendakap Piala yang diidamkan setiap negara di Asia Tenggara ini.

      Malaysia atau juga digelar Harimau Malaya kini menjadi gergasi baru di Asia Tenggara dengan mencapai beberapa kejayaan di peringkat Asia Tenggara akhir-akhir ini. Datuk K. Rajagopal selaku pengendali utama pasukan Harimau Malaya semestinya ada ramuan tersendiri untuk kita mempertahankan kejuaraan Piala AFF ini. 

      Walaupun tewas beberapa perlawanan persahabatan sebelum sepak mula AFF, Rajagopal tetap optimis dengan anak-anak buahnya untuk melakukan yang lebih baik dalam perlawanan sebenar di AFF nanti. Malaysia diundi untuk berada di Kumpulan B bersama-sama Indonesia, Singapura, serta Laos. Skuad Negara dijadual akan membuka tirai perlawanan menentang Singapura pada 24 November 2012 seterusnya menentang Laos 28 November dan mengakhiri peringkat kumpulan dengan menentang Indonesia 1 Disember 2012. Kesemua perlawanan Harimau Malaya akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

       Kewibawaan Datuk K. Rajagopal tidak boleh disangkal lagi kerana beliau berjaya membentuk pasukan yang digeruni di Asia Tenggara. Jurulatih yang penuh dengan helah ini sememangnya teruk dikritik oleh peminat-peminat bola sepak tempatan kerana aksi yang tidak memuaskan terutama apabila mengadakan perlawanan persahabatan. "eksperimen" yang dibuat Rajagopal tidak disenangi oleh segelintir pengkritik bola sepak yang bimbang akan ranking negara yang semakin merudum.

       Namun bagi Rajagopal itu semua tidak penting kerana beliau mempunyai  misi tersendiri dengan caranya tersendiri. Misi utama beliau adalah untuk melayakkan Malaysia ke Piala Asia akan datang. Sehinggakan barisan pemain Thailand dan jurulatih mereka hairan dengan persembahan Malaysia yang longlai ketika aksi persahabatan baru-baru ini yang menyaksikan Thailand menang 2-0.

       Biarkan Datuk Rajagopal dengan kerjanya, kita harus percaya akan kebangkitan yang akan dibuat beliau di AFF nanti. Beliau adalah jurulatih yang banyak helah, dan kita sebagai penyokong harus memberi semangat kepada anak-anak buahnya pada setiap perlawanan.

     Ayuhlah kita semua rakyat Malaysia tidak kira peringkat umur, berlainan agama dan bangsa untuk kita sama-sama memberikan sokongan padu kepada skuad negara kita untuk mempertahankan kejuaran Piala AFF Suzuki kali ini. Sokongan peminat-peminat di stadium amatlah ditagih pemain-pemain negara kita untuk mempamerkan aksi yang terbaik dengan penuh semagat demi maruah negara. Kita tunjukkan kepada mereka di luar sana bahawa Harimau Malaya mempunyai penyokong yang luar biasa di kandang sendiri!!

Sila lawat : AFF SUZUKI CUP 2012 OFFICIAL WEBSITE untuk info.

No comments:

Post a Comment

MUST READ